BEKAS pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainuddin menasihati orang ramai untuk tidak membeli plasma darah yang dikatakan milik pesakit Covid-19 yang telah sembuh, yang dijual dalam talian sebagai 'vaksin pasif'. Reza, 41, yang merupakan penderma plasma bagi bekas pesakit yang pertama di negara ini berkata, tidak perlu membeli plasma darah daripada pesakit yang pulih kerana ia bukan vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit. "Saya fikir penjual berkenaan tidak bertanggungjawab dan tidak beretika," katanya. Dilaporkan beberapa penjenayah dalam talian menawarkan plasma darah dengan harga hampir AS$25,000 (RM87,500). Penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia membuat penemuan itu apabila melihat bagaimana penjenayah siber mengambil kesempatan terhadap krisis Covid-19. "Perkataan yang saya fikirkan adalah imunisasi pasif, di mana plasma darah pesakit Covid-19 yang telah sembuh diambil untuk mendapatkan antibodi dan kemudian digunakan untuk menyuntik kepada seseorang yang mungkin berisiko Covid-19," kata penyelidik utama, Rod Broadhurst, yang dipetik oleh AM, program hal ehwal semasa Australia. Plasma darah daripada bekas pesakit Covid-19 adalah antara ratusan 'produk' yang berkaitan dengan koronavirus dijual di laman web gelap, yang dikesan oleh pasukan berkenaan, awal bulan ini. Difahamkan, setiap plasma yang didermakan biasanya mengambil masa satu jam, dengan pengambilan seluruh darah daripada pesakit. Plasma tersebut kemudian dipisahkan menerusi mesin di sebelah katil sebelum sel darah dikembalikan kepada individu berkenaan. Plasma darah juga dijual secara terbuka oleh syarikat bioperubatan di negara-negara seperti Amerika Syarikat yang mempunyai pasaran sulit. New York Times melaporkan plasma darah yang disumbangkan oleh bekas pesakit dijual pada harga terlalu tinggi kepada makmal dan pembekal ujian - dari AS$350 hingga AS$40,000 (RM1,470 hingga RM168,000) untuk sampel daripada penderma tunggal. Beberapa syarikat bioperubatan mendakwa harganya terlalu tinggi disebabkan oleh rantaian bekalan, termasuk mencari penderma, sampel ujian, kos keselamatan dan logistik penghantaran. Sampel darah yang mengandungi antibodi itu diperlukan untuk mengesahkan ujian yang dibangunkan oleh saintis. Di negara-negara seperti Malaysia, derma darah biasanya secara sukarela kerana membayarnya dilihat seperti tidak wajar atau eksploitatif. Reza, yang merupakan Naib Presiden Kanan (Modal Insan), UDA Group Holdings Bhd, menambah bahawa dalam waktu yang mencabar ini, semua pihak seharusnya menumpukan kepada membantu antara satu sama lain dan bukannya mengambil kesempatan. "Mengejutkan apabila beberapa orang berusaha buat duit daripadanya. Ini adalah pertama kali saya dengar ada orang di luar sana yang menjualnya," katanya. Menurut Reza, beliau akan meneruskan sumbangan plasma darahnya untuk membantu pesakit Covid-19 yang lain, terutama mereka yang berada dalam tahap kritikal. "Saya berharap agar kajian yang dilakukan oleh pakar kesihatan kita yang berpengalaman di Kementerian Kesihatan akan terbukti berhasil," tambahnya. Beliau turut berharap lebih ramai bekas pesakit akan tampil menawarkan plasma darah mereka, untuk membantu merawat ribuan pesakit. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!