suria

“Kalau betul mereka curi-curi, ambil gambarlah” - Ismail Sabri ulas individu ‘terlepas’ sekatan, rentas negeri balik kampung

Sekatan jalan raya di tol plaza sudah mula dilaksanakan.

MEREKA yang 'curi-curi' balik kampung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dikenakan hukuman di bawah Akta 342.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, polis diberi kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar arahan ditetapkan.

"Rentas negeri hanya dibenarkan baru-baru ini empat hari saja melalui aplikasi Gerak Malaysia. Selepas itu balik kepada normal kecuali dengan kebenaran polis.

"Maknanya sesiapa yang rentas negeri tanpa kebenaran polis mereka boleh dihukum di bawah Akta 342. Polis masih boleh mengenakan kompaun atau membawa mereka ke mahkamah untuk dikenakan tindakan undang-undang," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang.

Mengenai dakwaan terdapat individu yang berkongsi pengalaman mereka berjaya curi-curi balik kampung, Ismail Sabri meminta orang ramai supaya mengambil gambar individu tersebut.

"Jadi yang curi-curi balik kampung tu saya tak tahu betul atau tidak, kadang-kadang provokasi saja. Kalau betul mereka curi-curi, ambil gambar merekalah.

"Macam dulu ada pernah yang selfie tu... silakan. Pihak polis pasti cari mereka. Jadi sekarang tak boleh, kecuali dapat kebenaran polis," katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu sekatan jalan raya di plaza tol sudah mula dilaksanakan bagi mengelakkan orang ramai melakukan rentas negeri sempena Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Polis sebelum ini telah mengenal pasti ahli keluarga yang berkongsi tip menipu polis untuk pulang ke Kuala Lumpur semasa PKP dilaksanakan.

Namun lelaki tersebut menerusi satu posting di Facebooknya menjelaskan perkara sebenar dan mengakui gurauannya membawa padah.

Dakwanya, dia juga tidak berniat untuk memperlekehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentra Malaysia (ATM) dan semua yang bertungkus-lumus menyelamatkan serta melindungi rakyat Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain