suria

“Yang bujang rindu kat siapa ni?” - Individu belum kahwin masih tiada kelonggaran rentas negeri

Sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengawal pergerakan rentas negeri. Gambar hiasan/Foto Bernama

SETAKAT ini, tiada kelonggaran buat individu bujang merentas negeri untuk berjumpa keluarga, tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, golongan bujang masih tertakluk kepada peraturan yang tidak membenarkan rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bujang tu rindu kat siapa ni? Kita benarkan keluarga yang terpisah itu dari segi kemanusiaan. Kita faham anak yang hampir dua bulan tak jumpa ibu bapa mereka disebabkan peraturan kita tak benarkan rentas sempadan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami, isteri hujung minggu boleh jumpa keluarga, syaratnya perlu maklum polis - Ismail Sabri

"(Larangan) rentas sempadan negeri masih diteruskan. Selagi tiada pengecualian kepada sesiapa, maka mereka masih tertakluk kepada peraturan yang tidak membenarkan rentas negeri walaupun orang bujang," katanya pada sidang media, petang Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada orang bujang diberi kelonggaran untuk pulang ke kampung berjumpa dengan ibu bapa masing-masing terutama menjelang musim perayaan, susulan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan kepada suami isteri yang terpisah untuk bertemu semula.

Ismail Sabri bagaimanapun mengakui ramai individu bujang yang merindui ibu bapa masing-masing.

"Saya tahu ramai orang bujang dah rindu kat mak dia. Sabar sikit, sabar dulu, InsyaAllah.

"Kalau sampai masanya, kalau ada kelonggaran, kita longgarlah. Tapi setakat ini tak ada kelonggaran lagi.

"Jadi, mereka mesti patuh kepada peraturan yang sedang dilaksanakan," katanya.

Pada Khamis, kerajaan membenarkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan diberi kelonggaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing.

Ismail Sabri pada sidang media berkata, kelonggaran itu dibenarkan untuk seminggu sekali sahaja, dengan syarat memohon kebenaran di balai poilis berhampiran.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain