ASYIK berhibur bersama pelayan pelanggan (GRO) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), akhirnya terima padah! Polis menahan 10 individu warga tempatan dan empat wanita Vietnam dipercayai GRO sedang berhibur di sebuah bangunan pejabat yang dijadikan tempat berhibur kerana ingkar PKPB dalam serbuan di Taman Industri, Sungai Lokan di Butterworth, Pulau Pinang, tengah malam Jumaat. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara , Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan PKPB di kawasan itu pukul 12.30 tengah malam Jumaat mendapati premis itu telah dijadikan pusat hiburan, sedangkan masih dalam tempoh PKPB. "Serbuan ke premis itu mendapati terdapat sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan serta empat perempuan Vietnam sedang berhibur di situ bersama minuman keras dan muzik turut dimainkan di dalam pusat hiburan tersebut," katanya pada Sabtu. Katanya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu beroperasi tanpa permit perniagaan yang sah dan dipercayai ia milik seorang daripada lelaki yang ditahan itu. Beliau berkata kesemua individu tempatan itu berumur 40 hingga 67 tahun manakala empat wanita Vietnam yang berumur 25 hingga 28 tahun didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah dan dipercayai masuk menggunakan pas lawatan sebelum bekerja sebagai GRO di premis hiburan terbabit. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!