suria

Akui ramai rindukan kampung, tapi lebih ramai tak setuju PKPB dilonggarkan - “Setakat hari ini, sabar dulu”

Ramai yang mahu PKPB diperketatkan demi kebaikan bersama. (Gambar Hiasan).

TINJAUAN yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyaksikan ramai rakyat negara ini mahu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperketatkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Yang bujang rindu kat siapa ni?” - Individu belum kahwin masih tiada kelonggaran rentas negeri

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai cadangan memberi kelonggaran kepada individu bujang agar mereka boleh pulang ke kampung menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

"Untuk memberi lebih banyak kelonggaran, sekarang pun saya lihat dari tinjauan MKN... ramai sebenarnya mahu kita perketatkan, bukan melonggarkan.

"Saya pun banyak terima WhatsApp bertanya kenapa kita longgarkan dan sebagainya. Walaupun satu hari tu (raya) 20 orang sahaja maksimum, berdasarkan keluasan rumah dan sebagainya, itu pun bila kita beri sedikit kelonggaran, ramai yang mengatakan tak boleh.

"Kerajaan tidak boleh pun memberi kelonggaran. Jadi kalau banyak lagi yang kita nak longgarkan, tentu sahajalah kita akan menghadapi banyak masalah kerana tujuan kita sekat untuk mengelak merebak lebih banyak lagi Covid-19," ujarnya.

Tambahnya lagi, jumlah kes harian Covid-19 juga berada pada paras yang memuaskan dan hal itu dicapai menerusi peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan selama ini.

Malah katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pastinya akan membuat keputusan terbaik sekiranya jumlah kes itu berjaya dikurangkan lagi dalam masa terdekat.

"Jangan kita pula yang balik menjadi penyebar kepada Covid-19. Sekarang dah cantik dah, bawah 100 kes dah lama. Harap kita terus kekal.

"Paling rendah baru-baru ini 16 kes. Kalaulah terus 16 kes, terus lagi sampai kurang dua angka, mungkin KKM akan membuat keputusan yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Waktu itu, mungkin kita boleh memberi banyak kelonggaran kepada rakyat kita. Jadi setakat hari ini, sabar dulu," ujarnya lagi.

Tambah Ismail, dia faham perasaan rakyat negara ini yang merindui keluarga mereka, namun aspek kesihatan perlu diutamakan demi kesejahteraan bersama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain