suria

“Raya tertutup... kalau boleh jangan kunjung-mengunjung, ziarah kubur untuk tahun ini saja” - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak menziarah kubur dan kunjung-mengunjung pada Aidilfitri kali ini. Gambar sekadar hiasan.

SUDAH jadi kebiasaan, setiap kali raya kita akan kunjung-mengunjungi dan menziarahi kubur semasa Aidilfitri.

Namun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti tersebut pada sambutan kali ini.

"Untuk hari raya memang kita lihat kelaziman kunjung-mengunjung dan ziarah ke kubur tapi kali ini di luar kelaziman kita.

"Saya nasihatkan supaya jangan amalkan kunjung-mengunjung dan ziarah kubur hanya tahun ini saja," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Isnin petang.

Jelas Dr Noor Hisham, amalan itu cara berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang masih ada dalam masyarakat.

"Cara berkesan kalau boleh raya tertutup antara kita dan keluarga saja serta kurangkan kunjung-mengunjung, kalau boleh jangan.

"Kalau kita boleh patuh, kita boleh putuskan jangkitan Covid-19 sebab virus itu masih ada dalam komuniti.

"Jadi kalau kita terdedah mungkin bawa balik virus itu ke rumah dan kita menjangkiti mereka yang berisiko tinggi," katanya.

Malah beliau turut mengingatkan orang ramai supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa musim perayaan untuk mengelak pertambahan kes.

"Dalam tempoh dua minggu ni kita berjaya kekal dua angka. Tapi apa yang membimbangkan adalah musim perayaan. Sama ada meningkatkan kes atu tidak kita masih lihat dan pantau.

"Tapi kita bimbang kalau kita tak patuh SOP kes akan meningkat. Jadi kita sama-sama mengharapkan rakyat Malaysia patuh SOP semasa musim perayaan.

"SOP ni mudah tetapi mungkin sukar diamalkan. Jadi saya rasa semua orang tahu apa yang nak dilaksanakan. Tapi diamalkan sebagai satu kelaziman dan satu budaya sebelum kita bincang exit strategy," katanya.

Artikel Lain