SEORANG wanita hamil 35 minggu direkodkan sebagai antara kes positif Covid-19 terbaharu, kes pertama di Kelantan selepas sebulan negeri itu tidak mencatatkan sebarang jangkitan. Wanita itu diuji positif setelah dia melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang, Selangor ke Kuala Krai untuk melahirkan cahaya mata di kampung halaman. ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kematian, Malaysia catat 31 kes positif Covid-19 pada Rabu Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media pada Rabu petang. "Kita sedia maklum negeri Kelantan ialah zon hijau, dan kes (wanita) ini didapati telah balik kampung dari Ampang (zon merah). "Apabila kes ini sampai ke kampung dan datang ke klinik kesihatan untuk menjalankan saringan. Kes ini dia mengandung 35 minggu dan hasrat dia untuk melahirkan bayi tersebut di kampung. "Apabila dilaksanakan ujian Covid-19, dia positif dan kini telah diasingkan dan diberi rawatan," ujarnya. Jelas Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang melakukan pengesanan kontak-kontak rapat wanita tersebut. Malah, kes itu juga kini masih berada dalam siasatan KKM. Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai khususnya yang tinggal dalam zon merah agar kekal di rumah. Jelasnya, ia penting bagi mengelakkan jangkitan terhadap orang lain khususnya mereka yang berada dalam zon hijau. Difahamkan, pergerakan wanita itu bermula dari Ampang dan dia telah singgah unuk berbuka puasa di kediaman nenek belah suaminya di Machang. Selepas itu, dia bergerak ke Kampung Mengkebang, kediaman ibu bapa suaminya sebelum menginap di rumah keluarga di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai. Di kemudiannya membuat pemeriksaan kehamilan di sebuah klinik pada Selasa sebelum disahkan positif Covid-19 di Hospital Sultanah Zainab, kota Bharu. Sehingga kini, 11 kontak rapat telah membuat saringan dan kini melakukan kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!