suria

Lebuh raya sesak gara-gara kedegilan orang ramai mahu beraya di kampung, tak peduli larangan rentas negeri

Aliran trafik menunjukkan lebuh raya PLUS sesak berhampiran Tanjung Malim. Foto: The Star

SUNGGUHPUN kerajaan melarang sebarang pergerakan rentas negeri, namun trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dilaporkan sesak apabila ribuan kenderaan dilihat memenuhi jalan raya dipercayai untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Aliran lalu lintas dari ibu negara menuju utara dan selatan mulai perlahan pada petang Khamis, di mana dilaporkan kenderaan mula berpusu-pusu memenuhi jalan raya seawal pukul 8.00 pagi tadi.

Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Ahad ini (24 Mei).

ARTIKEL BERKAITAN: “Duit tu boleh guna buat perkara lain” - Kompaun untuk rentas negeri balik kampung, Ismail Sabri saran patuh SOP

ARTIKEL BERKAITAN: “Yang bujang rindu kat siapa ni?” - Individu belum kahwin masih tiada kelonggaran rentas negeri

"Kami mendapati lalu lintas perlahan di tol NKVE, begitu juga jalan raya sebelum memasuki tol Bukit Raja.

"Lalu lintas juga perlahan di Lembah Beringin menuju ke Tanjung Malim.

"Terdapat juga kesesakan sepanjang 1 kilometer dari KLIA menuju Bandar Serenia," kata jurucakap PLUS.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut memuat naik perkembangan aliran trafik di Twitter, di mana lalu lintas dilaporkan perlahan dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim ekoran sekatan jalan raya pihak polis.

Lalu lintas juga perlahan dari Southville City ke Putra Mahkota pada kira-kira jam 11.43 pagi kerana sekatan jalan raya yang lain.

Menerusi halaman Facebook Info Roadblock JPJ/ Polis, ia turut memaparkan klip video di mana kelihatan kereta berbaris panjang dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lalu lintas terkini melalui Plusline bebas tol di 1-800-88-0000 atau www.twitter.com/plustrafik atau hotline LLM di 1-800-88-7752 atau www.twitter.com/llminfotrafik. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain