ORANG ramai tidak lagi perlu beratur panjang mencuba nasib meminta kebenaran untuk pulang ke kampung di balai polis berdekatan kerana pergerakan merentas negeri memang tidak dibenarkan. Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat khas pada Khamis pagi. "Semalam daripada laporan mesyuarat pagi tadi, di Kuantan seramai 1,300 orang beratur di ibu pejabat polis kontinjen negeri untuk mohon kebenaran pulang ke kampung merentas negeri. "Oleh tu mesyuarat khas putuskan bahawa pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Jadi tak payah beratur panjang-panjang dapat kebenaran polis. "Polis tak benarkan sebab kita tak buka ruang merentas negeri. Saya rasa tak mungkin 1,300 ada kematian, tak logik. Saya fikir ramai saja 'try test' kata orang kampung, kot-kot boleh dapat," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Khamis petang. Memandangkan masih ramai berdegil, Ismail Sabri berkata mereka yang cuba merentas negeri akan dikenakan kompaun jika ditahan di sekatan jalan raya yang dilakukan. Malah katanya, mereka juga akan diarahkan berpatah balik selepas dikenakan kompaun. "Sebelum ini apa dilakukan polis mereka yang cuba merentas negeri diarah patah balik. Tapi mulai hari ini kita setuju supaya bukan diarahkan patah balik tapi dikompaun di sekatan jalan raya. "Kita mahu rakyat sedar, kerajaan serius tidak membenarkan kes rentas negeri berlaku. Kita tak berkompromi. Mana yang dah balik, bila pulang mungkin tak akan terlepas tindakan seterusnya," katanya. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pergerakan merentas daerah masih lagi dibenarkan. "Tak ada sekatan dan mereka bebas bergerak di dalam daerah masing-masing. Walaupun jauh mana masih boleh. "Sebagai contoh dari Kuantan ke Kuala Lipis boleh sampai empat jam, kita benarkan. Ia bukan ditentukan masa tapi sebab dalam negeri sama, jadi tak timbul isu," katanya. Mengenai mereka dalam negeri yang sama mahu balik berhari raya di daerah lain, Ismail Sabri menegaskan perkara itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. "Nak balik raya masih tertakluk SOP. Bila sampai ke kampung kalau kat rumah tu ada 20 orang, anda balik bertiga satu kereta tak bolehlah. "Jadi SOP ada untuk hari raya. Walaupun cuba balik contohnya balik betiga tak bolehlah. walaupun cuba balik melebih 20, kereta banyak kat luar, polis akan tanyalah," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!