suria

Malaysia catat 50 kes baharu positif Covid-19, 35 kes dikesan di depoh tahanan Bukit Jalil

Malaysia mencatatkan 50 kes positif Covid-19 pada Khamis. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai penularan wabak Covid-19 menyaksikan Malaysia merekodkan 50 kes baharu, menjadikan keseluruhan 7,059 kes setakat Khamis.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,149 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kematian, Malaysia catat 31 kes positif Covid-19 pada Rabu

"Daripada 50 kes baharu yang telah dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 35 kes telah dikesan di depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil. Mereka telah berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

"Sebanyak 13 kes adalah penularan dalam komuniti dan enam kes adalah warganegara," katanya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Khamis petang.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 114 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 114 iaitu bersamaan 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," ujarnya

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga hari ini, 90 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 5,796 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, sepuluh kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM

Artikel Lain