suria

Syawal sebulan tapi ziarah raya hanya hari pertama... seterusnya menyalahi SOP - Ismail Sabri

Anggota Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan di sekitar perumahan di Seksyen 6 Shah Alam pada hari kedua Aidilfitri bagi memastikan SOP PKPB dipatuhi. -fotoBERNAMA

WALAUPUN raya sebulan, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan hanya membenarkan sambutan itu diraikan pada 1 Syawal saja.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambutan pada hari raya kedua mahupun seterusnya tidak dibenarkan dan menyalahi SOP dikeluarkan kerajaan.

"Kita punya SOP sambutan hari pertama saja dibenarkan dan 20 orang pada satu hari. Seterusnya tak ada lagi kerana SOP jelas sambutan hari raya pertama saja.

"Semalam saya tengok laporan berita. Semalam raya kedua, polis terus memantau di kampung-kampung dan ada dapat kompaun on the spot apabila polis sampai ke rumah mereka.

"Jadi kebenaran hanya raya pertama. Hari raya seterusnya walaupun raya sebulan adalah menyalahi SOP dikeluarkan kerajaan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Selasa petang.

Jelas beliau lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan kompaun terhadap 387 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Daripada 102 kompaun yang dikeluarkan di balai polis, 31 kompaun kerana kesalahan ziarah Aidilfitri.

"Sebanyak 285 kompaun dikeluarkan di lapangan yang mana 194 dikeluarkan di sekatan jalan raya," katanya.

Meskipun ramai menganggap tindakan kompaun ketika ziarah Aidilfitri agak keterlaluan, Ismail Sabri berkata jumlah tersebut amat kecil.

"Daripada keseluruhan rakyat Malaysia hanya 102 kompaun bagi mereka yang ingkar PKPB. Maknanya jumlahnya amat kecil berbanding keseluruhan rakyat di negara ini.

"Jadi saya kira tindakan dilakukan pihak polis kerana sudah beri pelbagai amaran sebelum tindakan diambil. Masih ada ingkar tapi jumlahnya kecil.

"Patuhilah setiap arahan kerajaan. Pihak polis akan terus bertegas di dalam melaksanakan undang-undang yang telah kita uar-uarkan kepada seluruh rakyat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain