TUN Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan bagaimana Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Suhaimi Yahya telah memecat beliau sebagai pengerusi parti. "Tiba-tiba semalam (Khamis) saya dapat surat daripada setiausaha kerja yang telah memecat saya, buang saya. "Terkejut juga saya. Pengerusi boleh dibuang oleh setiausaha kerja. ARTIKEL BERKAITAN: Tun M, Mukhriz, Syed Saddiq antara 5 digugur keahlian dari Bersatu "Ingatkan saya seorang saja, rupanya ada empat, lima orang lagi. "Setiausaha kerja ni sebenarnya tak ada dalam perlembagaan. Tiada kuasa apa pun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, petang Jumaat. Sehubungan itu beliau berkata, sebagai pengerusi, beliau mengambil keputusan memecat Muhammad Suhaimi sebagai setiausaha kerja dan digantikan dengan Datuk Sazmi Miah berkuat kuasa pada Jumaat. "Saya masih Pengerusi. Tindakan setiausaha kerja memecat kami adalah salah. Dia tidak ada hak," kata Dr Mahathir. Pada pukul 3.30 petang Jumaat, Dr Mahathir masuk ke pejabat pengerusi parti itu di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, malahan beliau juga memuat naik di Twitternya: "Saya sekarang di Ibu Pejabat Bersatu, kata nak pecat saya, saya tunggu di pejabat". Dilaporkan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen menolak keputusan Bersatu untuk menggugurkan keahlian mereka kerana mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang. Ahli Parlimen terbabit tidak bersetuju sama sekali keahlian masing-masing dalam Bersatu terhenti serta-merta, serta mendakwa ia menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan yang dijamin bawah prinsip kedaulatan undang-undang. Pada Khamis dilaporkan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) digugurkan keahlian daripada Bersatu. Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.Menurut kenyataan itu, melalui surat bertarikh 28 Mei 2020, mereka dimaklumkan telah melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu kerana bertindak mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ia melanggar Perlembagaan Bersatu. Surat makluman mengenai perkara berkenaan yang bertarikh hari ini, ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!