suria

Tak perlu pakai mask semasa joging, memandu sendirian - “Yang penting jarak… dua, tiga meter lagi bagus”

Orang ramai disarankan supaya tidak memakai topeng mulut dan hidung jika berjoging atau memandu sendirian.

TIDAK perlu pakai topeng muka dan hidung ketika berjoging atau semasa memandu berseorangan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, orang ramai hanya disarankan untuk memakai penutup mulut dan hidung semasa berada di tempat awam atau jika seseorang itu bergejala.

"Kalau kita pakai mask ada banyak jenis. Contohnya mask N95, kalau pakai dalam tiga, empat jam kita rasa lemas.

"Apa yang penting kalau tengah joging tak ada orang sekeliling kita boleh buka mask begitu juga kalau memandu berseorangan, tak perlu pakai mask," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden kematian di luar negara membabitkan mereka yang memakai penutup hidung dan mulut ketika melakukan aktiviti riadah dan semasa memandu.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang berjoging supaya sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial.

"Pastikan semasa joging kita cuba elakkan penjarakkan (sosial), kalau dua, tiga meter lagi bagus.

"Kita pakai mask untuk putuskan jangkitan. Kalau kita dapat pastikan penjarakkan tak perlu pakai mask ketika itu.

"Jadi bila kita pakai mask mungkin pernafasan kita rasa rimas. Inilah yang kita nasihatkan kepada rakyat yang pakai mask," katanya.

Terdahulu, kerajaan membenarkan aktiviti sukan yang tidak melebihi 10 orang mulai 4 Mei lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah badminton, tenis, joging, termasuk berbasikal dengan syarat orang ramai mengamalkan penjarakkan sosial.

Bagaimanapun katanya, aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan tidak dibenarkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

joging, memandu, topeng, KKM, Dr Noor Hisham

Artikel Lain