KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan lebih banyak sektor sosial bakal dibuka tidak lama berikutan rekod kes harian yang rendah ketika ini. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia termasuklah sektor pendidikan khususnya melibatkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam. "Sekarang seminggu selepas hari raya, dan hari ini misalnya ada 10 rakyat Malaysia yang positif. Itu merupakan satu tanda yang menggalakkan dan positif. "Kita harap minggu berikutnya akan menunjukkan catatan kes dua digit rendah atau satu digit. Jika berlaku sebagaimana kita harapkan, pada 9 Mei atau sebelum tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mungkin kita akan buka lebih banyak sektor. "Secara perlahan tapi pasti, dan buka dengan berhati-hati dan kita akan terus pantau. Sektor sosial seperti sukan, dan juga pendidikan khususnya tingkatan lima dan tingkatan enam atas," ujarnya pada Sabtu. Kata Dr Noor Hisham, KKM terus membuat pemantauan harian dan trend yang ditunjukkan pada ketika ini merupakan sesuatu yang bagus. Dalam pada itu kata Dr Noor Hisham, orang ramai juga harus menerapkan budaya dan gaya hidup baharu untuk meneruskan kehidupan dengan kewujudan Covid-19 dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang. "Kita tahu virus itu ada dalam komuniti. Sekarang, bagaimana untuk hidup dengan virus itu dalam dua ke tiga tahun selepas ini. "Kita perlu tukar budaya, sesuaikan dengan persekitaran baharu agar kita boleh hidup bersama virus itu. "Sehinggalah kita ada vaksin atau rawatan untuk memulihkan Covid-19," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!