KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum mengeluarkan sebarang arahan bertugas kepada semua guru. Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekolah masih lagi bercuti dan belum dibuka buat masa ini. "Oleh itu KPM masih belum keluarkan sebarang arahan bertugas. Tidak ada setakat ini. "Tapi kalau mereka secara sukarela pergi sekolah nak tolong guru besar itu bukan arahan KPM," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Rabu petang. Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa terdapat 20 guru diarahkan untuk kembali bertugas di daerah masing-masing pada 9 Jun ini. Jelas Ismail Sabri, hanya mereka yang juga anggota khidmat pengurusan seperti kerani sekolah yang sudah mula bertugas. "Mereka sama seperti penjawat awam lain, jadi mereka dah mula bertugas. Tapi guru belum lagi. "Setakat ini belum ada arahan daripada KPM," katanya. Sementara itu, mengenai sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan selepas 9 Jun ini, Ismail Sabri berkata perkara tersebut belum dibincangkan buat masa ini. "Seperti biasa setiap kali kita menyambung kita akan buat pengumuman. "Setakat hari ni belum tahu lagi sebab belum ada perbincangan untuk sambung atau tak," katanya. Bagaimanapun beliau berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat. "Once keputusan dah dibuat kita umumkan... sambung kita umum tak sambung pun kita umum. "Jadi tunggulah apabila pengumuman itu dibuat nanti," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!