suria

Pendandan di lokasi penggambaran tak sama dengan tukang gunting rambut, alat mekap dikhususkan untuk seorang artis sahaja - Ismail

'Face shield' dan sarung tangan wajib dipakai oleh pendandan, kata Ismail Sabri. -Gambar hiasan

SYARIKAT produksi tidak wajib menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas kru dan para pelakon.

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya pada Rabu.

Jelas Ismail Sabri, usaha itu bagaimanapun dialu-alukan jika mereka mahu melaksanakannya secara sukarela atas kapasiti peribadi.

"Untuk pelakon, syarikat produksi serta kru tidak diwajibkan membuat swab test kerana seperti saya sebut, kita hanya lakukan ujian bila timbul isu positif di kawasan itu.

"Contohnya kawasan Penjara Sungai Buloh (Selangor) kita tak pernah arah buat ujian, tapi bila belaku kes positif kita arah supaya semua banduan diuji.

"Kalau ada kes baharu kita arahkan buat secara wajib. Jadi tak ada kluster penggambaran filem, jadi tak perlu buat secara wajib.



Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Tapi kalau mereka secara sukarela nak buat sendiri, kita alu-alukan," jelasnya.

Ismail Sabri turut memberi penjelasan apabila timbul isu mengenai pendandan di set penggambaran yang mana skop tugasnya hampir sama dengan tukang gunting rambut yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini.

Selain pemakaian 'face shield' dan sarung tangan, setiap peralatan juga dikhususkan untuk seorang artis sahaja dan ia tidak dibenarkan dikongsi.

"Mengenai pendandan, bukan penggunting rambut ya, pendandan rambut... ada prosedur operasi standard (SOP) yang mereka bangunkan, iaitu pendandan pakai 'face shield' dan sarung tangan serta peralatan diguna khusus untuk individu.

"Setiap artis berbeza dengan artis lain, tak ada percampuran. Syarikat penggambaran juga perlu lantik penyelia keselamatan untuk pantau pematuhan SOP," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain