suria

“Kami sudah siap siaga untuk PRU-15” - Ahmad Zahid

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuat naik gambar beliau menerima kunjungan Datuk Seri Najib pada malam Selasa di Facebook. Foto: FB Ahmad Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti pimpinannya sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Kami sudah siap siaga untuk PRU-15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?" katanya dalam catatan Facebook pada Rabu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika khabar angin mengenai pergolakan politik negara sedang bertiup kencang sejak kebelakangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kami mahu pecat Muhyiddin, tapi guna cara yang betul - Tun M

Dalam perkongsian tersebut, Ahmad Zahid turut memuat naik gambar beliau menerima kunjungan daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada malam Selasa.

Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian daripada parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang kini memegang tampuk pemerintahan.

Turut berada dalam gabungan tersebut adalah PAS, GPS dan beberapa ahli parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekas ahli parlimen PKR.

Walaupun Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad giat melancarkan serangan terhadapnya, yang menandakan berlaku perpecahan dalam parti dan satu lagi episod perebutan kuasa akan berlaku.

Dr Mahathir baru-baru ini menegaskan bahawa beliau masih Pengerusi Bersatu, susulan penyingkirannya dari parti baru-baru ini.

Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen Bersatu dilucutkan keahlian parti itu berikutan tindakan mereka untuk duduk di kerusi pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, menegaskan bahawa Dr Mahathir dan empat bekas pemimpin Bersatu tidak diusir sebaliknya ia adalah kehendak mereka sendiri untuk 'keluar' parti. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Bersatu, PRU15, Ahmad Zahid

Artikel Lain