suria

Tiada lagi halangan... dah boleh sambut Aidiladha, melancong dalam negara

Selain Hari Raya Aidiladha, ibadah korban turut dibenarkan.

JIKA sebelum ini Syawal digalakkan untuk diraikan secara tertutup tapi berbeza pula dengan sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban yang bakal disambut pada hujung Julai ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sambutan tersebut dibenarkan tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa agama Islam.

"Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik.

"Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam," katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ahad petang.

Malah Muhyiddin turut mengumumkan kelonggaran akan diberikan untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat lain.

"Kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan.

"Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan.

"Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana.

"Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain