suria

KKM bincang tarikh buka sekolah dengan Kementerian Pendidikan esok

Guru-guru menyusun meja mengikut garis panduan bagi persediaan pembukaan semula sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pelajaran (KPM) pada Selasa, berhubung tarikh pembukaan sekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun sektor pendidikan akan dibuka dahulu untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6.

ARTIKEL BERKAITAN: Garis panduan pembukaan semula sekolah diedar mulai esok

"Esok ada mesyuarat dengan KPM, mungkin akan bincang tarikh yang sesuai untuk pelaksanaannya. Kalau kita tetapkan esok (tarikh untuk mula persekolahan), jangka masanya adalah dua minggu untuk ibu bapa membuat persiapan untuk (pelajar) kembali ke sekolah.

"Kita akan mula dengan Tingkatan 5 dan 6, sebelum kita buka kepada pelajar-pelajar sekolah (yang lain). Ini ialah perancangan kita, tetapi kita akan berbincang dengan lebih mendalam esok dalam mesyuarat bersama dengan KPM," katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM turut bercadang untuk memanjangkan masa perkhidmatan Klinik Kesihatan kepada dua syif bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pengamalan penjarakan sosial dalam kalangan pesakit.

"Kita juga akan lihat langkah-langkah lain dalam penjarakan sosial seperti melaksanakan sistem janji temu, sebab kita perlu elak kesesakan di ruang menunggu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan mengembangkan konsep klinik maya dan juga pertimbangkan untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan ke komuniti seperti komuniti Orang Asli dan rumah.

"Kita telah laksanakan perkhidmatan kesihatan ke rumah untuk ibu hamil dan anak, sekarang kita sedang pertimbangkan jika perkhidmatan ini boleh dipanjangkan kepada pesakit strok dan pesakit yang tidak dapat hadir ke hospital kerana kekangan pengangkutan," katanya.

Ditanya mengenai kebenaran suami untuk menjaga isteri di bilik bersalin, katanya ia bergantung pada dasar hospital masing-masing.

"Ada hospital membenarkan, ada yang tidak, kalau ruang cukup mungkin akan dibenarkan," katanya.

Mengulas mengenai satu kes COVID-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Sabah melibatkan bayi perempuan lapan bulan, beliau berkata kes itu dikesan sebelum menjalani pembedahan dan bayi itu menunjukkan gejala.

"Bagi setiap kes yang dikesan positif, pihak kami akan saring ahli keluarga dan (siasat) pernah terdedah pada siapa. Siasatan (punca jangkitan) sedang dijalankan," katanya.

Satu lagi kes positif direkodkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil pula melibatkan seorang pegawai imigresen bantuan yang tidak menunjukkan gejala, katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekolah, KKM, Kementerian Pendidikan

Artikel Lain