suria

Antara pengumuman yang ditunggu-tunggu... restoran, kedai serbaneka dibenar beroperasi hingga 12 tengah malam

Peniaga kedai makan melekatkan pita pelekat berbentuk 'X' bagi memastikan para pelanggan mengekalkan jarak sosial. Foto Bernama

SUSULAN Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada Rabu (10 Jun 2020), lebih banyak kelonggaran diberikan oleh kerajaan.

Ini termasuk kebenaran restoran, gerai makan dan semua perniagaan menjual makanan untuk beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi premis perniagaan berkenaan ketika ini hanya dibenarkan dibuka sehingga pukul 10 malam.

"Namun harus ditegaskan bahawa penjarakkan sosial dan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sebelum ini perlu dipatuhi sepenuhnya," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Ismail Sabri berkata, lanjutan operasi perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam itu juga diberikan kepada kedai-kedai serbaneka dan runcit.

"Yang dulunya beroperasi 24 jam, kini kita benarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam. Bukan lagi 24 jam," tambahnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membuat keputusan untuk membenarkan pembukaan semula surau-surau di pusat beli-belah dan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) mulai Rabu.

Beliau menambah, gerai-gerai di kawasan R&R juga dibenarkan untuk beroperasi.

"Kita tahu rentas negeri telah pun dibenarkan mulai esok, saya percaya ramai yang akan melakukan perjalanan jauh. Jadi, surau di R&R akan dibuka.

"Begitu juga di pusat membeli-belah, sudah ramai pengunjung dan mereka mengadu surau-surau masih lagi ditutup. Jadi mulai esok, semua surau di pusat membeli-belah dibuka," katanya pada sidang media.

Beliau bagaimanapun berkata, kelonggaran tersebut tetap tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat solat di surau-surau perlulah mengamalkan disiplin diri dan penjarakkan sosial," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa rentas negeri dibenarkan berikutan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain