suria

Rapid KL buat U-turn, akur arahan kerajaan patuhi penjarakkan sosial

Rapid KL turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan dek pertambahan bilangan pengguna.

RAPID Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) yang juga pengendali perkhidmatan rel di bawah jenama Rapid KL membuat pusingan-U apabila mengumumkan dasar penjarakkan sosial di semua stesen tren dan perkhidmatan rel mereka.

Ia susulan teguran yang dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri tegur Rapid KL tak ikut SOP, umum tiada penjarakkan sosial dalam tren - “Tak boleh sewenang-wenang ubah apa ditetapkan kerajaan”

"Rapid KL akur dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan penjarakan sosial di dalam LRT, MRT dan Monorel.

"Polisi ini akan terus dilaksanakan sehingga keputusan baru dibuat oleh pihak kerajaan. Sehubungan dengan itu, kami menyeru kepada semua penumpang yang akan kembali bekerja pada 10 Jun diharap dapat mematuhi polisi yang telah ditetapkan dan sentiasa memberi kerjasama," ujar Rapid KL.

Malah, mereka turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan dek pertambahan bilangan pengguna.

Terdahulu, Ismail berkata syarikat itu tidak mempunyai kuasa untuk mengubah dasar atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Apabila kerajaan menetapkan perlu ada penjarakkan sosial di dalam mana-mana rel, mereka tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengubah apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kalau mereka ingin membuat sebarang perubahan, mereka perlu memohon daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membuat sebarang perubahan.

"Bukan tiba-tiba umum mengikut apa yang mereka rasa perlu umum," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, langkah tiada penjarakkan sosial itu sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun.

Menurut Abdul Hadi, ia juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan untuk PKPP yang membenarkan kapasiti 100 peratus kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity.

Artikel Lain