suria

Mulai hari ini, khidmat penghantaran makanan dilanjut hingga 12 tengah malam

Perkhidmatan ini akan dilanjutkan selama dua jam berkuatkuasa pada Rabu.

PERKHIDMATAN penghantaran makanan yang ditempah menerusi aplikasi atas talian akan dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkhidmatan tersebut akan dilanjutkan selama dua jam berbanding tempoh ditetapkan sebelum ini.

"Kita dah berubah-ubah dulu dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pukul 8 malam saja, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pukul 10 malam.

"Dan semalam saya dah umumkan untuk yang berkaitan makanan dan kedai runcit kita tambahkan masa hingga pukul 12 tengah malam.

"Jadi untuk food delivery kerana berkaitan makanan, kita tambah hingga pukul 12 tengah malam," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Rabu petang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk kenderaan persendirian masih tertakluk kepada peraturan sedia ada sebelum ini.

"Dari segi kenderaan empat (penumpang) atau ikut kapasiti kenderaan dari rumah yang sama masih kekal SOPnya.

"Jadi kalau ada perubahan InsyaAllah akan diumumkan kemudian," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB diganti dengan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

Dalam PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk rakyat memudahkan rakyat menjalani kehidupan seharian.

Antaranya, kebenaran rentas negeri kecuali di kawasan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain