suria

Yuran taska meningkat? Pengusaha-ibu bapa diharap berbincang... kedai gunting rambut juga terkesan

Kerajaan peka berlakunya peningkatan kos memandangkan setiap taska harus membuat sanitasi dan mematuhi SOP lain yang diwartakan.

KERAJAAN berharap pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dapat berbincang dengan golongan ibu bapa dalam memutuskan soal kenaikan yuran.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berlaku peningkatan kos memandangkan beberapa perkara perlu dipatuhi selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa pasti lega... Semua 7,000 taska dibenarkan beroperasi dengan syarat patuh SOP!

"Dari segi taska, kita faham bahawa mereka perlu buat pelbagai perkara seperti sanitasi taska, sebagaimana di tempat lain juga.

"Misalnya kedai gunting rambut, mereka minta supaya dinaikkan harga kerana banyak tanggungan yang baharu seperti sediakan apron pakai buang. Jadi, tentu ada kos.

"Begitu juga taska, harap mereka dapat berbincang dengan ibu bapa dan beri penjelasan kenapa perlu ada peningkatan kos," ujarnya.

Tambahnya, jika wujud perbincangan dua hala dan penjelasan sewajarnya, pastinya tiada isu akan timbul berkaitan hal itu.

Ismail berkata demikian menerusi sidang media hariannya pada Rabu bagi mengulas rungutan segelintir ibu bapa mengenai kenaikan yuran taska anak mereka.

Pada Selasa lalu, Ismail mengumumkan kebenaran operasi taska setelah berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKM) mengenai operasi di taska kelak.

"Dari 7,000 taska oleh kerana tak ada SOP yang diperkemaskan, hanya 304 taska yang telah beroperasi sebelum ini.

"Hari ini kita minta KWKM untuk bentangkan operasi yang diperkemaskan berhubung operasi taska. Oleh itu kita telah bersetuju dengan operasi yang kita anggap lengkap dan kemas dibincang bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.

"SOP itu lengkap merangkumi sewaktu menghantar bayi, anak, ketika penjagaan dan sewaktu mengambi anak.

"Oleh itu kita dengan ini membenarkan baki taska yang belum dibuka iaitu sebanyak 6,696 taska dibenarkan beroperasi mulai sekarang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain