suria

Akta berkaitan Covid-19 akan dibentang... Lapor jika peniaga tak patuh SOP sepanjang PKPP - “Premis mereka boleh ditutup”

Pelanggan boleh membuat aduan sekiranya peniaga tidak mematuhi SOP di premis seperti pemeriksaan suhu badan. Foto Bernama

PENIAGA dan pemilik perniagaan bakal berdepan dengan tindakan premis mereka ditutup sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai terutama pelanggan boleh membuat aduan kepada pasukan petugas khas operasi pematuhan SOP.

"Pelanggan boleh melaporkan kepada pihak polis misalnya, dapatkan butiran premis perniagaan tersebut dan tindakan-tindakan mereka yang tidak patuh kepada SOP.

"Walaupun PKPP, masih ada yang diambil tindakan seperti kompaun. Kalau ada premis perniagaan yang tidak mematuhi (SOP), sama ada kita boleh kompaun mereka atau hadapkan ke mahkamah atau mungkin boleh ditutup perniagaan mereka.

"Dapatkan maklumat butiran di mana kedai tersebut, apakah kesalahan yang dilakukan dan pihak polis akan ambil tindakan," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan terhadap segelintir peniagaan yang tidak mengamalkan SOP yang ditetapkan seperti tidak merekod kehadiran pelanggan, tidak mengambil suhu badan pelanggan dan membiarkan kesesakan di premis.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, akta berkaitan Covid-19 akan dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.

Beliau memberitahu, antara tujuan akta berkenaan adalah untuk melindungi pelanggan yang gagal mendapat pulangan deposit selepas tempahan tidak diteruskan kerana mematuhi SOP.

"Saya faham banyak kes berlaku seperti deposit tidak mahu dipulangkan. Mereka (pelanggan) bukan membatalkan atas kehendak sendiri, tetapi disebabkan oleh perintah SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Ini satu kes, banyak lagi kes lain. Sebab itulah pihak kerajaan akan memperkenalkan akta baharu berkaitan Covid-19, akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

"Jika dapat kelulusan, dan selepas diwartakan, kita akan laksanakan akta tersebut. Isu-isu berkaitan itu akan dapat diselesaikan," ujar Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas segelintir pemilik dewan, katering dan khidmat solekan yang tidak memulangkan wang deposit kepada pelanggan disebabkan tidak meneruskan majlis perkahwinan, berikutan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

peniaga, premis, SOP, PKPP,

Artikel Lain