suria

Pengangkutan awam dibenarkan beroperasi sepenuhnya, tanpa had masa... syaratnya pakai mask, rekod suhu dan muat turun MySejahtera

Perkhidmatan bas ekspres dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh ketika PKP.

PERKHIDMATAN pengangkutan awam termasuk pesawat, kereta api, kereta api aliran ringan (tren), feri dan bas dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti penuh ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas menteri pada Khamis.

Bagaimanapun tegas Ismail, pengusaha pengangkutan awam yang terbabit dan juga penumpang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Boleh singgah R&R mulai hari ini tapi perlu patuh SOP

ARTIKEL BERKAITAN: MySejahtera sesak! 700,000 dalam seminit kerana e-dompet RM50... Dr Noor Hisham nasihat adakan penjarakkan ketika daftar

Antaranya penumpang dan pemandu diwajibkan memakai topeng muka sepanjang perjalanan menggunakan perkhidmatan awam berkenaan, pengusaha pengangkutan awam perlu merekodkan suhu badan penumpang, dan melakukan sanitasi selepas berakhirnya perkhidmatan.

"Pengusaha bas ekspres perlu mendaftar penumpang melalui aplikasi MySejahtera ataupun secara manual.

"Penumpang termasuk pemandu bas perlu pakai topeng muka setiap masa. Pengusaha bas perlu memeriksa suhu badan penumpang sebelum menaiki bas dan menyediakan topeng muka kepada penumpang yang tidak ada topeng. Mereka boleh menjual topeng muka kepada penumpang.

"Bas awam, feri, kereta api, tren kita benarkan beroperasi dengan kapasiti penuh. Bagi yang benarkan penumpang berdiri, penumpang perlu kawal kendiri supaya tak bersesak," katanya dalam sidang media harian PKPP pada Khamis.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan pekhidmatan e-hailing dan teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa.

"Selain itu, bilangan penumpang juga nmengikut kapasiti kenderaan. Kalau dulu hanya dibenarkan dua orang sahaja, mungkin boleh tambah seorang lagi di depan atau kalau guna kenderaan berkapasiti enam, ikut kapasiti tempat duduk," ujarnya sambil menambah, kaedah pembayaran mesti dibuat tanpa tunai (casless) selain memuat turun aplikasi MySejahtera.

Begitu juga dengan pengangkutan udara di mana pesawat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

"Pra syaratnya adalah suhu penumpang direkodkan terlebih dahulu dan wajibkan pemakaian topeng muka sepanjang perjalanan," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain