suria

Pelajar di lebih 400 tahfiz jalani ujian Covid-19, masih ada 1,000 sekolah tahfiz tidak didaftarkan - Dr Noor Hisham

Pelajar sekolah tahfiz antara kumpulan sasaran yang perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mendedahkan terdapat pelajar di 1,000 pusat tahfiz yang tidak didaftarkan masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya sudah melakukan saringan di lebih 400 pusat tahfiz di negara ini.

"Saringan masih berjalan. Jadi kalau kita kenal pasti individu tersebut contohnya mereka mungkin tiada di tempat tersebut, jadi kita akan melaksanakan saringan.

"Setiap hari kita menambah kes untuk disaring. Contohnya di pusat jagaan warga emas contohnya dari satu pusat ke dua pusat. Begitu juga sekolah tahfiz, setiap hari ada pertambahan.

"Kita hanya menyaringi 400 lebih saja sekolah tahfiz tapi kita dimaklumkan ada 1,000 lagi sekolah tahfiz di luar yang tidak didaftarkan. Jadi mana yang kita kenal pasti, kita jalankan saringan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Khamis petang.

Sekolah tahfiz dan pusat jagaan warga emas antara sembilan kumpulan sasaran ditetapkan KKM yang perlu menjalankan saringan.

Tambahnya lagi, ujian saringan merupakan salah satu pemantauan (surveillance) sekiranya berlaku peningkatan kes mendadk dalam kalangan kluster tersebut.

"Kalau ada peningkatan kes mendadak di kluster tersebut kita akan meningkatkan aktiviti kawalan kita iaitu active case detection.

"Tapi setakat ni bila kita saring contoh di pusat jagaan warga emas, insiden adalah rendah kes sekitar 0.2 peratus, jadi masih terkawal.

"Jadi ujian saringan ini untuk kita memantau sejauh mana penularan Covid-19 ini, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain