suria

Solat jemaah, Jumaat di masjid, surau zon hijau WP dibenarkan mulai esok... kuliah dan akad nikah juga, syaratnya patuhi SOP

Masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama. Gambar hiasan/Foto Bernama

SEMUA masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelaksanaan itu bermula dengan solat Jumaat pada 12 Jun.

"Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini.

"Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Zulkifli berkata, Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-6 yang bersidang pada 9 Jun telah mencadangkan Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Justeru, beliau berkata, cadangan tersebut merupakan satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu bahawa jemaah wanita juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram masing-masing.

"Kepada warga emas, tidak ada had umur yang ditetapkan untuk hadir sebagai jemaah dengan syarat anda sihat.

"Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah yang bergejala dan menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini," katanya.

Beliau menambah, masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider perkhidmatan e-hailing.

"Kuliah Maghrib dan kuliah Subuh boleh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat iaitu kuliah Maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak manakala kuliah Subuh boleh berlangsung sekitar 20 – 30 minit sahaja. Jadi, masjid dan surau boleh kembali diimarahkan dengan lebih aktif.

"Cuma, saya ingin mengingatkan kepada jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau bahawa jamuan makan selepas kuliah adalah tidak dibenarkan buat masa ini," katanya.

Buat bakal pengantin, Zulkifli memberitahu bahawa akad nikah boleh dijalankan di masjid.

BERIKUT adalah prosedur operasi standard (SOP) mengenai solat di surau, surau Jumaat dan masjid di Zon Hijau di Wilayah Persekutuan:

1. Melaksanakan penjarakkan sosial di dalam dan di luar masjid.

2. Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh 1 meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka;

3. Cara masuk dan keluar masjid mesti dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal;

4. Semua ahli jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing- masing sebelum hadir ke masjid;

5. Jika wuduk terbatal, anda dibolehkan untuk mengambil wuduk di pili air yang ditetapkan sahaja. Penggunaan kolah tidak dibenarkan;

6. Jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang;

7. Tidak ada bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid, surau Jumaat dan surau.

8. Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat samada di dalam atau di luar masjid;

Pada masa sama, pihak berkuasa agama negeri-negeri juga diminta untuk mengambil serius beberapa poin berikut:

1. Mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah;

2. Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat;

3. Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa

4. Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran atau aplikasi yang disediakan pihak jawatankuasa kariah masjid, Surau Jumaat dan surau;

5. Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan;

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain