KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan di Kuala Lumpur diuji positif wabak Covid-19. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya juga telah mengenalpasti 40 kontak rapat berkaitan kes itu setakat ini. ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 33 kes baharu, wanita 85 tahun meninggal dunia di rumah disahkan korban ke-119 Covid-19 "Pejabat Kesihatan Titiwangsa mendapat laporan dari sebuah hospital swasta mengenai seorang lelaki warga Pakistan, tukang gunting rambut di Kuala Lumpur. "Siasatan awal mendapati kedai gunting rambut tempat dia bekerja tidak beroperasi sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. "Namun dia terus memberi khidmat dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di mana 25 kontak rapat dikenalpasti dengan rekod panggilan telefon. "15 kontak rapat dapat perkhidmatan dengannya hingga 11 Jun, jadi jumlah kontak dikenalpasti seramai 40 orang," ujarnya pada Jumaat. Menurut Dr Noor Hisham, lelaki itu telah dibawa menjalani saringan oleh majikannya dan dia kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mendedahkan terdapat lebih 2,000 tukang gunting rambut warga asing di negara ini. Melihat perkara itu sebagai kebimbangan KKM, dia bagaimanapun menjelaskan mana-mana tukang gunting warga asing yang mahu kembali bekerja perlu menjalani saringan terlebih dahulu. Namun katanya, prosedur operasi standard (SOP) itu bukan sahaja tertakluk kepada warga asing yang bekerja sebagai tukang gunting rambut malah merangkumi semua sektor yang ada di negara ini. "Kita telah kaji hal ini. Kebimbangan KKM ialah warga asing. Kalau lihat data setiap hari, kes positif melibatkan warganegara sudah kurang. "Tapi warga asing perlu dilihat dengan teliti. Salah satu syarat untuk mereka mula bekerja, perlu jalani ujian Covid-19," ujarnya lagi.Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!