suria

Penjarakkan sosial dalam pesawat tak wajib kerana risiko jangkitan rendah - AirAsia

AirAsia sudah memulakan operasi penerbangan domestiknya.

SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan penjarakkan sosial dalam penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Riad Asmat.

Beliau berkata menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti telah menunjukkan risiko jangkitan dalam pesawat adalah sangat rendah.

“Pesawat telah dilengkapi dengan ciri-ciri yang dapat mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat seperti penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang memastikan udara dalam pesawat sentiasa bersih.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada penjarakan sosial dalam pesawat selaras panduan IATA - Ka Siong

"Tahap kebersihan ini setaraf dengan kualiti udara dalam bilik pembedahan di hospital," katanya.

AirAsia turut menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini, serta insentif seperti pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik hingga Disember 2021, katanya.

“Berpegang teguh kepada slogan kami, ‘Now Everyone Can Fly’, kami dengan besar hati menyokong usaha kerajaan dengan melancarkan Pas Tanpa Had untuk merangsangkan dan menghidupkan semula pelancongan domestik Malaysia, ” katanya.

Pada 7 Jun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran yang dibenarkan kepada rakyat di bawah PKPP termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun.

Susulan itu, AirAsia melancarkan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia untuk merangsangkan dan merancakkan semula pelancongan domestik Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan.

Pas bernilai bersih RM399 tersebut tersedia untuk semua ahli AirAsia BIG yang berpangkalan di Malaysia untuk membeli di airasia.com/deals atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia (di bawah Tab Tawaran) mulai 11 Jun hingga 15 Jun, 2020.

Pemegang pas boleh menebus perjalanan tanpa had bagi tempoh perjalanan domestik 25 Jun, 2020 hingga 31 Mac, 2021.

Sekiranya terdapat perubahan rancangan perjalanan, fleksibiliti yang lebih baik turut disediakan untuk pelanggan yang melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020 dengan mengetepikan biaya pertukaran penerbangan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain