suria

“Sangat jahat, lebih-lebih lagi ucapan saya dialih suara” - Ismail Sabri bengang jadi mangsa berita palsu

Ismail Sabri menunjukkan keratan berita palsu mengenai dirinya yang tular di media sosial.

"TOLONG check kesahihah berita."

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluahkan rasa terkilan selepas menjadi mangsa penyebaran berita palsu yang tular pada Jumaat.

"Saya sendiri pun jadi mangsa penyebaran berita palsu kononnya saya tidak mengalu-alukan kedatangan rakyat Singapura ke Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom ketahui 11 aktiviti dilarang ketika PKPP

"Dan ini boleh mengeruhkan hubungan antara negara kita dengan Singapura, sedangkan keadaan sebenarnya negara kita masih lagi menutup pintu kepada semua warga asing," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Sabtu petang.

Lebih teruk, Ismail Sabri berkata ucapan beliau turut dialih suara.

"Kononnya kalau nak datang setakat isi petrol, cuci petrol, dinner tak payah datanglah. Jadi ini satu berita yang sangat jahat lebih-lebih lagi ucapan saya ini dialih suara.

"Saya tahu ramai rakyat Malaysia mungkin kenal suara saya, mungkin rakyat Singapura tidak melihat PC (sidang media) setiap hari, mungkin tidak tahu," katanya.

Malah katanya lagi, tindakan tersebut berniat jahat dan boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua negara.

"Tindakan jahat ini boleh mengeruhkan hubungan kita dengan Singapura. Jadi perkara ini sebenarnya tidak perlu dilakukan.

"Saya dah buat laporan polis dan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terliabt dalam menyebarkan berita palsu ini," katanya.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.

"Anda boleh menyalurkan maklumat kepada Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

"Sebanyak 332 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh PRP KKMM yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain