PENGUSAHA atau pemilik premis perniagaan perlu menggunakan pengimbas suhu yang diluluskan oleh pihak berkuasa. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan itu adalah daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Jadi, mereka tidak boleh beli sembarangan. Elok beli di farmasi, dan bukan di pasar malam. "Kalau mereka dah beli, mereka perlu perhatikan dari segi ketepatan untuk memeriksa suhu. "Kalau nampak ada masalah, mereka perlu hantar untuk kaliberasi semula," katanya pada sidang media, petang Isnin. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengimbas suhu yang digunakan di sesetengah premis perniagaan yang disifatkan 'cap ayam'. Ia berikutan terdapat laporan dan aduan orang ramai bahawa terdapat suhu yang dicatatkan terlalu rendah atau terlalu tinggi. Walau bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, KKM dan pihak polis tidak akan memantau pengimbas suhu di setiap premis perniagaan. "Bukan kepakaran bagi PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk periksa dari segi ketepatan pengimbas suhu. "Cuma, apa yang penting adalah pengusaha perniagaan itu sendiri mesti mengambil inisiatif untuk melihat dari segi ketepatan pengimbas suhu tersebut," tambahnya. Jika pelanggan tidak berpuas hati atau tidak percaya dengan bacaan suhu menggunakan pengimbas di premis, beliau menasihatkan supaya mereka membuat aduan berhubung perkara itu. "Kepada pihak taskforce operasi pematuhan yang boleh membawa kepada Kementerian Kesihatan untuk memeriksa pengimbas suhu tersebut. "Kepada pelanggan, mereka boleh membuat laporan dan kepada pengusaha, pastikan pengimbas suhu di premis-premis perniagaan mereka adalah tepat dari segi bacaan suhu yang diambil dari pelanggan mereka," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!