suria

“Banyak dah yang menipu” - Van KKM, guna nombor plat Myvi! Jangan terpedaya saringan rumah ke rumah

Ismail Sabri nafi KKM bergerak dari rumah ke rumah untuk menjalankan saringan Covid-19 sebagaimana tular di media sosial.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah bergerak dari rumah ke rumah untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Demikian kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu penyamaran menggunakan nama KKM sebagaimana yang hangat diperkatakan.

"Jawapannya tak ada. KKM tak pernah melakukan swab test dari rumah ke rumah kecuali di kawasan PKPD. Apa yang berlaku ialah kes tipu.

"Saya sudah bercakap dengan KKM. Dari segi nombor pendaftaran van yang digunakan, ia sebenarnya nombor pendaftaran sebuah Perodua Myvi.

"Saya harap rakyat kita tidak tertipu. Jika ada sesiapa yang datang ke rumah mengaku KKM, tolong laporkan kepada polis segera," ujarnya pada Isnin.

Menurut Ismail Sabri, dia juga risau seandainya pihak tersebut bertindak melampau sehingga berlakunya kes rompakan.

Tiada saringan dibuat dari rumah ke rumah kecuali di kawasan PKPD sahaja.

Tambahnya, beliau juga peka wujud segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan tatkala negara sedang dilanda pandemik dengan pelbagai kes penipuan.

"Banyak dah yang menipu. Sebelum ini tipu beli topeng wajah. Dah macam-macam.

"Ramai orang ambil kesempatan sewaktu Covid-19 dan PKP. Harap kita semua lebih berhati-hati.

"Kalau ada yang datang, sila hubungi pihak berkuasa. Lebih bahaya kalau mereka boleh rompak dan sebagainya," ujarnya lagi.

Sebelum ini, tular posting berkaitan hal itu di laman sosial setelah ia dikongsi beberapa individu yang mendakwa didatangi kumpulan berkenaan yang menyamar sebagai pegawai KKM.

Malah, posting tular itu turut disertakan foto tiga lelaki di sisi sebuah van lengkap dengan logo dan tulisan KKM.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain