suria

Ramah mesra dalam sidang video, PM sempat usik pasangan YouTuber Sugu Pavithra - “Bila mahu belanja saya makan nasi beriani kambing?”

Sesi sidang video antara pasangan YouTuber Sugu Pavithra dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

JIKA baru-baru ini pasangan YouTuber 'Sugu Pavithra' menerima hadiah daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kali ini mereka dihubungkan pula menerusi satu sidang video.

Muhyiddin dalam sesi itu sempat mengusik M Sugu, 29, dan isterinya S Pavithra, 28, dengan bertanya: "Bila mahu belanja saya makan nasi beriani kambing?"

Sesi sidang video itu berlangsung sewaktu Muhyiddin melawat Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) di Kementerian Kewangan Putrajaya, bagi meninjau operasi serta status pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang jumlah keseluruhannya RM295 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih PM” - Sugu Pavithra

Dalam lawatan sama, penerima-penerima yang dihubungkan melalui sidang video mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas bantuan yang disalurkan itu.

Antara yang berpeluang berinteraksi dengan Muhyddin pada Selasa termasuklah pasangan suami isteri YouTuber popular itu yang juga penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Kata pasangan itu, bantuan tersebut meringankan beban mereka terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berasal dari Sungai Siput, Perak, pasangan itu berhasrat membuka restoran sendiri. Saluran YouTube 'Sugu-Pavithra' kini mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Rosnizam Ishak, 43, pula menggunakan dana BPN untuk memulakan perniagaan kambing perap setelah kedai makan yang diusahakannya sejak 2015 terjejas sewaktu PKP hingga terpaksa ditutup akibat perniagaan merosot selain pekerja tidak hadir bekerja atas faktor keselamatan.

Kesan daripada PKP itu, katanya dia dan isterinya mendapat idea perniagaan baharu yang bersesuaian dengan kebiasaan baharu dengan memilih mengusahakan perniagaan kambing perap sejuk beku.

"Musibah telah menjadi hikmah. Perniagaan kambing mendapat sambutan luar jangkaan. Penggunaan 100 peratus media sosial telah memulihkan ekonomi kami," kata Rosnizam yang berasal dari Bertam, Pulau Pinang, sambil menambah BPN itu diberikan tepat pada masanya.

Rosnizam berkata, usahanya tidak terhenti di situ sahaja kerana perniagaan itu turut membuka peluang kepada orang lain dengan menjadi ejen dan penghantar kambing perap untuk menampung pendapatan semasa PKP.

Pemandu teksi di Lembah Klang, Ahmad Rusdi Mat Daud, yang terkesan ketika PKP berkata, bantuan one-off RM600 untuk pemandu teksi dan BPN sebanyak RM1,600 telah membantu meringankan bebannya.

Berkongsi kesukaran ketika PKP, Ahmad Rusdi, 52, berkata, pendapatannya begitu terjejas dan ketika itu amat sukar untuk mendapat RM20 walaupun bekerja sehingga 13 jam.

Pasangan YouTuber Sugu Pavihtra.

Turut berinteraksi dengan Perdana Menteri ialah Pajan Singh Kirpal Singh, 55, pemilik hotel bajet di Kuantan, Pahang yang menerima bantuan subsidi upah dan moratorium pinjaman bank.

Walaupun perniagaan hotel terjejas, beliau masih menyediakan perkhidmatan percuma untuk barisan hadapan yang bertugas ketika tempoh PKP bagi menghargai pengorbanan mereka.

Michael Lo Vun Leong dari Tamparuli, Sabah pula memanfaatkan bantuan pembiayaan BSN Micro/i Kredit sebanyak RM60,000 sebagai suntikan modal perniagaan dan membayar gaji pekerja.

Lo, 45, terlibat dalam perniagaan pengangkutan barang-barang sejak 2016, namun mengalami kerugian kerana perniagaan tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP.

Sesi persidangan video kira-kira 20 minit itu turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali. - Bernama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain