suria

“Boleh tarik meja dengan syarat...” - Ramai keliru SOP makan di restoran, ini jawab menteri

Pengunjung mesti mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain ketika menjamu selera di premis restoran. -foto Bernama

SELAGI mana penjarakkan sosial satu meter boleh dipatuhi, adalah tidak menjadi masalah buat pengunjung restoran untuk duduk melebih empat orang di sebuah meja.

Perkara itu diterangkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai prosedur operasi standard (SOP) di restoran.

Menurut Ismail Sabri, disebabkan tafsiran yang tidak tepat mengenai SOP oleh sesetengah pengusaha restoran, kebanyakan pengunjung keliru apabila mereka terpaksa duduk berasingan walaupun datang membawa keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bilangan tempat duduk di kedai makan boleh ikut saiz meja, yang pasti jaga jarak sosial - Ismail Sabri

"Kita kata bahawa selagi ianya boleh memenuhi SOP penjarakkan sosial, kita tak hadkan dari segi jumlah di meja tersebut.

"Bila had empat (orang) saja, mereka yang datang satu keluarga dari rumah yang sama terpaksa diasingkan kerana SOP dipatuhi secara tegas oleh pengusaha restoran.

"Sebab itu mesyuarat setuju bahawa kalau ada enam (orang), meja boleh disambung untuk duduk bersama tetapi yang pentingnya adalah penjarakkan sosial, bukan meja itu diasingkan," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa penjarakkan sosial satu meter adalah asas bagi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan ia wajib untuk dipatuhi.

"Kalau enam (orang), dengan meja bersambung, ada penjarakkan sosial, kita benarkan mereka duduk bersama.

"Boleh tarik meja dengan syarat ia mesti ada penjarakkan sosial, satu meter dikekalkan di meja tersebut," terangnya lagi.

SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini adalah empat orang dibenarkan duduk semeja di kedai makan.

Namun, Malaysia kini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu dengan lebih banyak kelonggaran diberikan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

SOP, restoran, meja, penjarakkan sosial

Artikel Lain