suria

PRK Chini bermula esok dengan normal baharu, boleh berkempen dengan kehadiran tak lebih 250 orang

Para petugas kebersihan ketika melakukan proses sanitasi ketika tinjauan persediaan bagi hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan pada Jumaat. fotoBERNAMA

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bermula pada Sabtu dengan proses penamaan calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, yang bakal menyaksikan normal baharu dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Proses penamaan itu akan bermula pada 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

ARTIKEL BERKAITAN: DUN Chini: Pakatan tak hantar calon, MB Pahang gesa parti lain ambil tindakan sama

Selepas itu, Pegawai Pengurus PRK Zaliza Zulkipli akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

Bagi penyokong parti pula, mereka tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga penjarakan sosial ketika PRK berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Sehingga kini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 10 set borang pencalonan sudah pun dijual. Malah ada individu yang telah membayar deposit pilihan raya berjumlah RM8,000 setiap seorang.

SPR hari ini memutuskan beberapa pindaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) khas untuk PRK DUN Chini yang diumumkan sebelum ini, antaranya memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja.

Penganjur hendaklah memastikan pematuhan peraturan sedia ada serta SOP penjarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran yang teratur.

Bagi aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan jelajah mesra pula, hanya tiga orang sahaja dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat.

Aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan dan calon serta wakil calon yang terlibat dengan kempen ziarah dari rumah ke rumah dan program jelajah mesra perlu mematuhi peraturan sedia ada dengan mengamalkan jarak satu meter, memakai pelitup muka dan penggunaan pensanitasi tangan serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi.

Calon juga digalak memaksimumkan kaedah kempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial.

PRK Chini kali ini menyaksikan Barisan Nasional (BN), yang membawa misi mempertahankan kerusi itu, mengumumkan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Pekan, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon manakala ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan simbol ‘rumah’ manakala Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan tidak akan meletakkan calon pada PRK itu.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada tahun 2004.

SPR menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun manakala hari mengundi pada 4 Julai. DUN Chini, yang merupakan antara empat DUN di bawah Parlimen Pekan, bakal menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. PRK Chini adalah pilihan raya ke-11 selepas PRU14 dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada PH.- BERNAMA

Artikel Lain