KERAJAAN bersetuju membenarkan aktiviti ibadah korban di masjid, surau atau kawasan dibenarkan pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan. Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media pada Rabu. Antara prosedur operasi standard (SOP) utama yang diputuskan adalah seekor lembu hanya boleh dikendalikan 30 petugas sahaja bermula dari awal penyembelihan sehingga selesai proses pengagihan. "Sebenarnya yang terbaik, mudahnya dengan sembelih di pusat sembelihan.. kita galakkan. Sembelih sana, ambil dan edar. "Seekor lembu tak lebih 30 petugas. Bukan untuk menyembelih 30 orang, tapi dari segi untuk menumbangkan, sembelih, melapah daging, memotong, memasukkan dalam plastik sehingga diedar kepada penerima. "Kebenaran ini untuk Wilayah Persekutuan. Negeri-negeri lain tertakluk kepada pihak berkuasa agama masing-masing. "Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah keluarkan operasi standard (SOP) yang lengkap, jika negeri lain benarkan ibadah korban dilaksanakan, maka SOP tersebut boleh dijadikan rujukan oleh negeri-negeri lain," ujarnya. Berikut merupakan SOP yang diumumkan: 1) Penganjur perlu lapor aktiviti ibadah korban kepada pejabat kesihatan daerah terdekat. 2) Kapasiti kehadiran 250 orang 3) Nisbah seekor lembu dikendalikan tak lebih 30 petugas sahaja 4) Kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan 5) Sanitasi tangan dan rekod kehadiran 6) Petugas yang hadir haruslah tidak bergejala, mereka yang hadir juga tidak bergejala 7) Kanak-kanak bawah 12 tahun tak dibenarkan hadir 8) Petugas dan tetamu perlu daftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau rekod secara manual 9) Penjarakkan sosial mesti dilaksanakan sekurang-kurangnya satu meter 10) Perlu memakai penutup muka dan sarung tangan, digalakkan guna sistem moden seperti menggunakan sangkar sembelihan. Kata Ismail Sabri, ibadah korban di negeri-negeri lain tertakluk kepada pihak berkuasa agama masing-masing dan mereka boleh menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!