suria

Wah, bakal pengantin dah boleh senyum! Akhirnya kenduri kahwin dibenarkan dengan syarat ikut SOP

Majlis kenduri kahwin dibenarkan tetapi perlu mengikut beberapa SOP.

KERAJAAN akhirnya memberi 'lampu hijau' kepada penganjuran majlis kenduri kahwin dan majlis sosial lain berkuatkuasa pada 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata penganjuran majlis tersebut hanya boleh dilakukan dalam tempoh tiga hingga lima jam dan terhad kepada 250 tetamu pada satu-satu masa.

"Kerajaan setuju beri kebenaran majlis kenduri kahwin dan penganjuran majlis sosial merangkumi majlis pertunangan, tahlil, akikah, doa selamat, ulang tahun perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan majlis reunion mulai 1 Julai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenduri kahwin, setakat 250 orang atau lebih... keputusannya diumum Rabu ini

"Namun kita mengehadkan masa... penganjuran dibenarkan selama tiga hingga lima jam. Kapasiti kehadiran juga masih dikekalkan tidak melebih 250 orang pada satu-satu masa," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Selasa petang.

Meskipun kerajaan membenarkan kehadiran terhad kepada 250 orang, Ismail Sabri berkata jumlah tersebut juga tertakluk kepada saiz venue penganjuran majlis berkenaan.

"Walaupun kita benarkan 250 orang tapi ruang kecil jadi penjarakkan sosial tidak dapat dilakukan, jumlah kehadiran mungkin perlu dikurangkan.

"Mungkin 150 orang... kapasiti tertakluk kepada saiz ruang venue majlis diadakan. Jumlah kehadiran ikut setakat yang mampu saja," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penyajian makanan secara bufet juga tidak dibenarkan.

"Penyajian makanan bufet tidak dibenarkan tapi kita boleh melonggarkan walaupun ada bufet tapi dihidangkan oleh pramusaji.

"Pengunjung tak boleh ambil sendiri makanan. Cara terbaik kita cadangkan secara hidangan," katanya.

Jelasnya lagi, pengunjung yang hadir ke majlis tersebut juga perlu disaring terlebih dahulu dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk.

"Antara SOP kita tetapkan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk... itu syarat asas dan pengunjung perlu diperiksa suhu badan. Kita juga tak benarkan mereka bergejala untuk hadir.

"Penganjur dan tetamu juga digalakkan memakai penutup muka. Penganjur mesti mendaftarkan tetamu dengan Apps MySejahtera atau secara manual," katanya.

Sekiranya penganjur sukar mematuhi SOP ditetapkan, Ismail Sabri menasihati mereka supaya tidak meneruskan penganjuran tersebut.

"Jika penganjur sukar mengawal penjarakkan sosial, maka kita galakkan tidak meneruskan penganjuran kerana PDRM masih lagi memantau SOP.

"Kalau tak mampu tak perlulah laksanakan. Laluan masuk dan keluar juga perlu di bahagian kawasan berbeza untuk elak kesesakan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain