JENAZAH Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris dibawa ke kampung halaman masing-masing pagi Khamis dengan menaiki kapal terbang C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kapal terbang yang membawa dua jenazah itu berlepas pukul 9.45 pagi dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu Terminal 2 ke Johor untuk membawa arwah Mohamad Firdaus, 26 tahun. Penerbangan itu kemudian akan ke Melaka untuk membawa jenazah arwah Muhammad Arif, 26 tahun.ARTIKEL BERKAITAN: Kereta langgar lori ketika dalam perjalanan pulang ke kem, dua anggota tentera maut Turut mengiringi jenazah Mohamad Firdaus ialah Lt Ghozi manakala Lt Muhammad Shahirul Amir Ahmad Shukri mengiringi jenazah Muhammad Arif. Jenazah telah dimandi dan dikafankan selepas bedah siasat selesai pukul 2.00 petang di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, pada Rabu. Terdahulu, jenazah Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim, 35, telah dibawa menaiki helikopter TUDM EC 725 pukul 8.05 pagi ke Semporna. Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan itu maut dalam kemalangan yang berlaku pukul 1.03 petang, pada Selasa. Manakala seorang lagi yang cedera Vincent M.Orel, 24, berasal dari Sarawak kini menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Sepanggar. Kesemua anggota yang terlibat dalam nahas itu dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!