SEORANG pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) 'tersesat' masuk ke lorong motosikal gara-gara terlalu mengikut aplikasi Waze untuk ke lokasi dituju di Lebuhraya Persekutuan pada Selasa. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari pejabatnya di Sungai Besi menuju ke Shah Alam. Video tersebut kemudiannya tular di media sosial hingga menyebabkan dia dipanggil polis keesokan harinya untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan. "Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dalam perjalanan dari syarikatnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk menuju ke pusat servis kenderaan. "Semasa dalam perjalanan, pemandu itu telah menggunakan aplikasi navigasi yang menunjukkan laluan motosikal. “Menyedari kesalahannya, pemandu terbabit telah cuba mencari jalan keluar dengan dibantu sekumpulan penunggang motosikal di laluan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis Nik Ezanee berkata, semakan yang dibuat ke atas telefon bimbit lelaki terbabit mendapati aplikasi navigasi yang digunanya tersalah menggunakan tetapan mode motosikal. “Ujian saringan air kencing juga mendapati pemandu itu negatif dadah. "Pemandu terbabit kemudian telah dibebaskan sementara kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!