suria

Tiada jaminan terus bebas Covid-19, pesakit sembuh jalani pemeriksaan setiap 3 bulan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini ada menyebut tiada pasport imuniti bagi bekas pesakit Covid-19.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan melakukan pemeriksaan susulan terhadap pesakit COVID-19 yang sudah didiscaj dari hospital setiap tiga bulan bagi memantau tahap sebenar antibodi dan keadaan paru-paru mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini berikutan tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan Covid-19 tidak boleh dijangkiti semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham akui bimbang pintu sempadan negara dibuka, masih bincang SOP

"Pemeriksaan susulan ke atas pesakit Covid-19 yang sembuh dibuat untuk mengesan jika berlaku kerosakan atau sebarang perubahan pada paru-paru mereka, ” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM pada Jumaat.

Merujuk kepada laporan akhbar tempatan yang mendakwa bekas pesakit COVID-19 mudah dijangkiti kuman, Dr Noor Hisham berkata perkara tersebut adalah berdasarkan kajian di luar negara dan kes seumpama itu belum dikesan berlaku di Malaysia setakat ini.

Katanya kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini ada menyebut tiada pasport imuniti bagi bekas pesakit Covid-19.

“Ini bererti kalau dijangkiti Covid-19 tidak semestinya tidak boleh dijangkiti lagi. Ini disebabkan antibodi yang terbina (semasa melawan jangkitan Covid-19 yang pertama) adalah tidak cukup untuk pertahanan bagi jangkitan kedua dan seterusnya. Oleh itu pemeriksaan susulan oleh KKM adalah penting, ” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata pengalaman dunia dan Malaysia dalam menghadapi Covid-19 dan melihat kesan jangkitannya kepada pesakit yang sudah sembuh masih baru iaitu hanya selama enam bulan.

Tidak ada pihak yang boleh meramalkan apa yang akan berlaku selepas ini, katanya lagi.

Menurut Dr Noor Hisham, berdasarkan kajian di negara luar, antibodi pesakit Covid-19 yang sudah sembuh semakin berkurangan selepas lapan minggu.

Ditanya mengenai penggunaan terowong sanitasi, Dr Noor Hisham sekali lagi mengingatkan orang awam bahawa tiada bukti klinikal akan keberkesanan kaedah itu.

“Kementerian masih tidak menggalakkan penggunaan terowong ini. Malah, kami bimbang akan keselamatan serta kesan sampingannya.

“Ini kerana virus berada di dalam tubuh, bukan pada permukaan. Bahan kimia yang disembur di dalam terowong mungkin memudaratkan, menyebabkan iritasi pada kulit, mata dan mulut ... mungkin juga mencetuskan serangan asma pada penghidap, ” katanya.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain