suria

Tun M namakan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

TUN Dr Mahathir Mohamad menggesa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Perkara itu disampaikan oleh mantan Perdana Menteri tersebut menerusi satu klip video yang kini tular di internet.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M mahu tarik diri daripada Pakatan Plus, enggan terima jawatan menteri mentor

"Saya yang menamakan Shafie (untuk menggantikan saya sebagai calon), tetapi bukan saya sahaja. Yang lain juga memberikan nama beliau.

"Jika anda tidak beri Shafie menang, itu seperti tidak mahu saya menang.

"Saya harap akar umbi (Bersatu) akan memilih Shafie sebagai calon PM mereka. Sekiranya saya tiada lagi, ada orang lain. Saya tidak akan ada selamanya. Lebih baik jika kita tukar (calon PM berikutnya) pada masa ini, supaya kita dapat meneruskan perjuangan kita, saya mahu anda menyokongnya," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian sebagai memberi maklum balas kepada seorang ahli Bersatu yang bertanya sama ada mereka harus menyokong Shafie sebagai calon PM ke-9.

Tidak ada penjelasan sama ada pemilihan Shafie sebagai calon perdana menteri itu merupakan keputusan Pakatan Plus.

Pakatan Plus adalah gabungan antara PKR, DAP, Amanah, Warisan dan bekas pemimpin Bersatu yang menyokong Dr Mahathir.

Ketika dihubungi, seorang pegawai Dr Mahathir mengesahkan klip tersebut dan mengatakan bahawa ia dirakam pada 26 Jun dan sepatutnya merupakan sesi tertutup bagi ahli Bersatu Perak dan Terengganu.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah bekas timbalan presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz; bekas setiausaha agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan wakil dari DAP.

Isu calon Perdana Menteri menjadi topik paling hangat apabila ia menjadi pertikaian beberapa pihak dalam Pakatan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, Dr Mahathir dilaporkan mempunyai perselisihan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara berkenaan. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain