suria

5 tahun tinggal di bangsal usang, nasib tukang urut akhirnya dapat perhatian

Bangsal itu dibina daripada tinggalan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang roboh akibat dimakan anai-anai.

NASIB seorang lelaki yang tinggal di sebuah bangsal usang mendapat perhatian Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, selepas mengetahui kesukaran hidup tukang urut itu menerusi ruangan Aduan Awam di laman sosial Kementerian Wilayah Persekutuan diterajuinya.

Alias Abdullah, 43, berkata bangsal yang dibina daripada tinggalan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang roboh akibat dimakan anai-anai menjadi tempat buat dirinya berlindung.

"Sudah lima tahun saya tinggal di sini, di sinilah tempat saya tidur dan mengurut pelanggan. Untuk makan, saya ke rumah kakak yang terletak di hadapan rumah ini.

"Memandangkan kakak sulung, Norizan, 47, juga bukan orang senang dan mempunyai anak ramai, saya rasa rumah pusaka peninggalan ibu bapa kami boleh dijadikan tempat tinggal," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Wilayah Persekutuan itu di rumah usangnya di Kampung Padang, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Annuar berkata Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) bersetuju membina rumah baharu untuk Alias dengan anggaran kos keseluruhan antara RM10,000 hingga RM15,000.

"Rumah ini akan dibina dalam masa terdekat secara gotong-royong bersama penduduk kampung bagi memastikan keselesaan Alias," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata bagi permohonan bantuan rumah yang lain pula akan diproses secara berperingkat kerana beliau mahu melihat sendiri kehidupan pemohon.

Katanya, pihaknya akan memastikan bantuan yang dihulurkan sampai kepada golongan sasar, selain turut memberi perhatian terhadap keperluan rakyat.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Alias Abdullah, tukang urut, bangsal

Artikel Lain