suria

Kelibat tak kelihatan pada pengundian awal PRK Dun Chini, status Azhar sebagai Pengerusi SPR terus jadi tanda tanya

Azhar dikatakan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi SPR pada Isnin

SPEKULASI mengenai perletakan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun terus menjadi tanda tanya.

Ura-ura mengatakan Azhar yang dilantik sebagai Pengerusi SPR pada September 2018, melepaskan jawatan itu pada Isnin susulan beliau dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

ARTIKEL BERKAITAN: Art Harun dilantik pengerusi baharu SPR

Malah ketiadaan kelibat Azhar yang turut dikenali sebagai peguam hak asasi manusia itu pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Balai Polis Chini pada hari ini turut menguatkan lagi spekulasi tersebut.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pengesahan berhubung pencalonan Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan gagal menemui jawapan positif.

Setiausaha Akhbar Takiyuddin sebaliknya memaklumkan pihak mereka masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menghantar usul bagi menggantikan Yang Dipertua Dewan dan timbalannya, Nga Kor Ming, pada 26 Jun lalu dan dijangka membentangkannya pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 13 Julai ini.

Begitupun, Ahli Parlimen Batu Pahat merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Pengerusi SPR, Azhar Harun

Artikel Lain