suria

Amaran kepada individu baru balik overseas enggan jalani ujian saringan kedua Covid-19 - “Kita akan hantar polis...”

Seramai lebih 1,400 masih enggan menjalani ujian saringan kedua Covid-19.

POLIS akan menjejaki seramai lebih 1,400 individu baru balik dari luar negara dan diarah menjalani kuarantin wajib di rumah tetapi enggan menjalani ujian saringan kedua Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu-individu tersebut dianggap melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342.

"Kalau tak lakukan saringan mereka telah langgar SOP dan tindakan boleh diambil di bawah Akta 342 yang ditetapkan.

"Ada 1400 yang degil. InsyaAllah kita akan hantar polis supaya mereka jalani ujian saringan kedua," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Rabu petang.

Justeru beliau menasihatikan golongan terbabit supaya tampil secara sukarela untuk menjalani ujian saringan kedua atau sebaliknya.

"Sama ada tunggu polis datang atau pergi sendiri ke klinik buat saringan kali kedua.

"Atau mungkin mereka call Kementerian Kesihatan (KKM) cara bagaimana nak atur saringan kali kedua tersebut," katanya.

Menurut beliau, individu yang dibenarkan menjalani perintah kuarantin wajib di rumah perlu mematuhi beberapa SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Walaupun kita benarkan kuarantin di rumah tapi ada SOP yang perlu mereka patuhi. Antaranya pakai wristband yang menunjukkan mereka telah diswap test dan keputusannya negatif dan membolehkan mereka balik.

"Kedua mereka tak boleh keluar rumah dan sebenarnya mereka juga tak boleh keluar bilik di dalam rumah sekali pun. Pada hari ke-13 pula mereka mesti menjalani ujian saringan kali kedua.

"Bila mereka jalani saringan kedua jika didapati negatif, kita akan potong wristband menunjukkan mereka bebas daripada gejala Covid-19," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain