suria

Sekolah dibuka semula 15 dan 22 Julai ini... guna kaedah 3 model

sekolah

TARIKH pembukaan semula sekolah bagi murid-murid bukan kelas peperiksaan awam ditetapkan pada Rabu, 15 dan 22 Julai 2020.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

"Setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamayan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan supaya pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam dilaksanakan secara berperingkat," ujarnya.

Bagi sekolah menengah, murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 serta murid Kelas Peralihan akan kembali ke sekolah bermula pada hari Rabu, 15 Julai 2020.

Begitu juga dengan sekolah rendah di mana murid Tahun 5 dan Tahun 6 akan kembali ke sekolah pada tarikh yang sama.

Sementara itu, bagi murid sekolah rendah Tahun 1 hingga Tahun 4, tarikh pembukaan semula sekolah adalah pada Rabu, 22 Julai 2020.

Bagi kemasukan murid Tingkatan 6 Semester 1 Tahun 2020 pula, mereka akan mendaftar pada Rabu, 15 Julai 2020.

"Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," ujarnya.

Menghuraikan lebih lanjut mengenai pengoperasian pembukaan penuh sekolah, Dr Mohd Radzi berkata KPM telah mengenal pasti tiga model yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.

Berikut adalah tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah seperti yang digariskan KPM:

1) Model Satu Sesi - Untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

2) Model Dua Sesi - Untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

3) Model Penggiliran - Untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain