suria

Elak bebanan mengajar dua sesi, KPM wujudkan sistem penggiliran untuk guru

KPM yakin banyak kaedah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan penggiliran dijalankan dengan efektif.

SEJURUS pengumuman tiga Model Pengoperasian Pembukaan Penuh Sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), timbul pula persoalan mengenai sistem penggiliran bagi golongan guru.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Md Jidin, mereka juga akan melalui sistem penggiliran, sebagaimana ketetapan ke atas para pelajar.

"Tentang penggiliran guru, apabila sekolah satu sesi dijadikan dua sesi, maka pihak sekolah bukan sahaja menyusun jadual untuk pelajar tapi menyusun jadual guru juga.

"Pihak sekolah akan buat perincian bilakah guru akan datang ke sekolah... sama ada sesi pagi atau petang," ujarnya menerusi sidang media pada Rabu.

Kata Dr Radzi, antara persoalan yang turut timbul tentunya melibatkan guru yang terpaksa mengajar dalam dua sesi berlainan.

"Pihak sekolah akan melihat situasi tersebut dan memberikan fleksibiliti kepada guru ini untuk datang pada akhir tempoh waktu pagi dan meneruskan untuk sesi petang.

"Jadi ada overlap tanpa menambah jumlah jam kehadiran ke sekolah, dapat mengajar sebelah pagi pada hujung-hujung seterusnya meneruskan sekolah sebelah petang," jelasnya.

Katanya, KPM yakin banyak kaedah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan penggiliran dijalankan dengan efektif.

Terdahulu, Dr Radzi mengumumkan KPM telah mengenal pasti Model Pengoperasian Pembukaan Penuh Sekolah iaitu Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Dr. Radzi Md Jidin, sekolah, guru

Artikel Lain