suria

Saringan untuk semua yang hadir ke Parlimen, hanya bergejala jalani ujian swab - Dr Noor Hisham

Kesemua yang hadir bagaimanapun masih tertakluk kepada garis panduan sebagaimana persidangan pada 18 Mei lalu.

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk sidang Parlimen pada 13 Julai ini tidak termasuk ujian swab.

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham menerusi sidang media hariannya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Setakat ini, tiada kes positif” – Dr Noor Hisham perjelas ujian saringan Covid-19 ahli Parlimen

Namun kata Dr Noor Hisham, kesemua yang hadir masih tertakluk kepada garis panduan biasa sebagaimana persidangan pada 18 Mei lalu.

"Institusi parlimen juga akan patuh pada SOP ditetapkan. Tapi ia tak termasuk swab test. Hanya kita lihat kalau mereka bergejala, baru kita akan jalankan swab.

"Tetapi saringan akan dijalankan, dari segi suhu, pemakaian topeng muka, cuci tangan... itu semua akan kita pastikan dipatuhi oleh mereka yang ke parlimen.

"Tetapi swab untuk semua orang kita tak akan laksanakan, seperti mana institusi lain. Hanya kalau ada gejala, kita akan laksanakan," ujarnya.

Terdahulu, persidangan Parlimen yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April diputuskan hanya diadakan selama sehari iaitu pada 18 Mei kerana mengambil kira ancaman wabak Covid-19.

Persidangan itu juga tidak bersidang, sebaliknya hanya titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum sidang itu, seramai 950 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media menjalani ujian saringan secara berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka yang hadir bebas wabak itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain