MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi amaran kepada rakyat Malaysia yang dikuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua. Beliau berkata, selepas pengumuman dibuat pada minggu lalu supaya mereka tambil membuat saringan, kini tinggal seramai 414 daripada jumlah keseluruhan 1,400 orang yang diburu oleh pihak polis. "Selepas saya umumkan mereka tampil buat saringan kedua pada hari ke-13, daripada 1,400 tinggal 600 lebih pada hari berikutnya. ARTIKEL BERKAITAN: Amaran kepada individu baru balik overseas enggan jalani ujian saringan kedua Covid-19 - "Kita akan hantar polis..." "Saya difahamkan hari ini tinggal 414 orang. Sama ada mereka berdegil atau tidak tahu tentang SOP (prosedur operasi standard) tersebut. "Saya harap 414 ini pergilah dengan segera ke klinik-klini kesihatan berdekatan atau hubungi Kementerian Kesihatan untuk melakukan saringan kesihatan buat kali kedua supaya mereka disahkan sama ada positif atau negatif," katanya pada sidang media, petang Isnin. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan berhubung lebih 1,400 rakyat Malaysia enggan tampil mematuhi SOP menjalani saringan kali kedua pada hari ke-13 dikuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara . Ismail Sabri berkata, polis akan terus memburu mereka yang enggan melakukan ujian saringan kali kedua itu. "Kalau 414 masih belum tampil, pihak polis akan datang ke rumah mereka untuk membantu mereka pergi ke klinik-klinik ke kesihatan "Jadi kalau selesa pergi sendiri, tak perlu tunggu polis membawa mereka ke klinik-klinik kesihatan," tambahnya. Terdahulu, Ismail Sabri berkata, golongan itu wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama. Jika gagal berbuat demikian, beliau berkata, mereka melanggar SOP ditetapkan serta akan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!