suria

Kontroversi Al Jazeera... 4 individu termasuk wartawan dipanggil ke Bukit Aman

Empat individu termasuk petugas agensi berita antarabangsa Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung sebuah dokumentari.

SUSULAN kontroversi dokumentari Al Jazeera mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19, empat individu dipanggil ke Bukit Aman pada Jumaat.

Empat individu termasuk petugas agensi berita antarabangsa Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman pada Jumaat bagi memberi keterangan berhubung sebuah dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata, antara yang dipanggil ialah pengendali dan wartawan Al Jazeera bagi membantu siasatan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nah! Doktor buka cerita bagaimana Pati dilayan 'sebagai manusia' di wad Covid-19, sangkal laporan Al Jazeera - "Apa lagi mereka mahu?"

ARTIKEL BERKAITAN: Tampil dalam dokumentari Al Jazeera, lelaki Bangladesh kini diburu Imigresen

Mereka tiba di Bukit Aman bersama tujuh peguam kira-kira 8.50 pagi dan cuba mengelak ditemu bual pemberita di lokasi.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Pada Rabu lepas, Bernama melaporkan sebanyak lima laporan polis dibuat oleh beberapa pihak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia berhubung dokumentari yang disiarkan agensi berita itu dan polis mengenal pasti beberapa individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan kes.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain