suria

Hari pertama sidang Dewan Rakyat kecoh susulan usul pengosongan kerusi Speaker

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibarahim.

SUASANA hari pertama persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula pada Isnin menyaksikan berlaku kekecohan susulan beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan usul pengosongan kerusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan usul tersebut meminta perbahasan dibuat sewajarnya kerana membabitkan soal penting.

Anwar mencadangkan supaya Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak menghalang ahli Parlimen berbahas.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Dewan Rakyat saksikan perubahan tempat duduk ahli Parlimen, Tun M di blok bebas

"Saya cadangkan Timbalan Yang di-Pertua jangan ambil keputusan yang terlalu pantas dan gopoh untuk menghalang Ahli Parlimen berbahas. Ini soal besar bukan soal teknikal.

"Jadi tak ada sebab untuk kita hadkan dua orang, dan masa terbatas. Ini isu besar. Pertama kali berlaku dalam sejarah. Jawab dulu, sebelum saya bahas," kata Anwar.

Sebelum itu, Mohd Rashid membenarkan kedua-dua pihak berbahas selama 10 minit.

Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dicadangkan Muhyiddin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua.

Perdana Menteri dijadual membawa usul mencadangkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas ini. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kecoh, Dewan Rakyat, Speaker

Artikel Lain